KAMPAR 28 Jun – Polis sedang mengesan empat individu yang memecah masuk rumah simpanan abu mayat di Kubur Cina Jalan Kuala Dipang-Kampar dekat sini kelmarin melibatkan kecurian wang tunai dalam tabung derma serta barangan milik si mati dengan anggaran keseluruhan bernilai RM1,000.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, usaha berkenaan dilakukan melalui pengesanan kesan cap jari di lokasi kejadian termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan milik Persatuan Chinese Temple Kampar itu.
Beliau berkata, insiden pecah masuk itu disedari kira-kira pukul 7.50 pagi semalam apabila pintu besar yang dikunci, didapati berada dalam keadaan terbuka manakala kunci mangga pintu bangunan pagoda itu telah dipecahkan.
“Rakaman CCTV menunjukkan empat suspek tidak dikenali telah memasuki kawasan bangunan dan memecahkan kunci gril dengan pemotong besi bersaiz besar. Suspek kemudian telah mengambil barang peribadi dalam almari abu mayat dan memecahkan tabung derma yang mengandungi wang bercampur-campur.
“Sebanyak 15 pintu peti simpanan abu mayat telah dipecahkan tetapi balang-balang abu mayat itu tidak dirosakkan. Namun, pelbagai barangan peribadi seperti rokok, jam tangan dan lain-lain telah hilang, antaranya termasuklah yang palsu dan tulen. Barang-barang itu tidak dapat dinilai kerana ia merupakan hadiah kepada si mati,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat, diminta tampil untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Rumah simpanan abu mayat berusia puluhan tahun itu terletak di lereng bukit dan berada kira-kira 200 meter dari jalan besar Ipoh ke Kuala Lumpur.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457/297 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











