KOTA BHARU – Penyakit pneumonia atau radang paru-paru bukanlah penyakit bawaan air seperti taun dan kepialu sebaliknya ia berjangkit melalui udara atau sentuhan dengan pesakit.
Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Alwi Muhd Baseri berkata, pneumonia adalah penyakit jangkitan paru-paru yang disebabkan sama ada oleh bakteria ataupun virus.
Beliau berkata, bagi negara beriklim panas seperti Malaysia lazimnya jangkitan adalah disebabkan bakteria seperti ‘Streptococcus pneumoniae’ yang mampu ‘hidup’ dalam bahagian paling atas rongga pernafasan sesetengah individu.
“Individu terbabit mungkin sudah ‘immune’ atau kebal dengan bakteria ini yang ada dalam badannya dan tidak menjejaskan kesihatannya tetapi sekiranya bakteria ini turun ke bawah dan masuk ke bahagian paru-paru maka akan bermulalah masalah seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.
“Individu ini boleh menyebabkan orang lain dijangkiti apabila bakteria tersebar melalui percakapan dan sentuhan dengan orang di sekelilingnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Dr. Alwi berkata, pneumonia boleh menjangkiti sesiapa sahaja namun individu yang normal dan sihat tidak mudah untuk mendapat jangkitan penyakit ini.
Beliau berkata, golongan yang paling berisiko adalah orang yang berumur, kanak-kanak kecil, orang yang kurang zat makanan serta penghidap HIV kerana daya ketahanan badan yang rendah.
Jelasnya lagi, pada asasnya, rawatan yang digunakan untuk mengubati penyakit pneumonia adalah melalui pengambilan antibiotik.
“Seseorang yang menghidap pneumonia biasanya mengalami demam, batuk, pengeluaran kahak dan sesak nafas bagi tempoh antara tiga sehingga 10 hari. Keadaan pesakit akan menjadi sama ada lebih baik atau lebih teruk selepas tempoh itu bergantung kepada ketahanan badan seseorang dan akses kepada rawatan.
“Paru-paru pesakit umpama banjir dengan cecair bakteria sedangkan paru-paru memerlukan oksigen sebab itulah mereka sukar bernafas dan membawa kematian jika tidak dirawat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya pandangannya mengenai kes yang menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Dr Alwi berkata, biarlah pihak berkuasa meneruskan penyiasatan untuk mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kematian begitu ramai.
“Cuma daripada laporan bedah siasat awal dinyatakan bahawa ada yang mati disebabkan pneumonia. Kita tahu sesiapa sahaja boleh dijangkiti pneumonia tetapi dengan rawatan yang pantas pesakit boleh sembuh namun golongan seperti Orang Asli tersebut mungkin tidak sempat untuk mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Tambahnya, vaksin untuk mencegah penyakit pneumonia yang berpunca daripada bakteria ‘Streptococcus pneumoniae’ sudah ada tetapi setakat ini ia diberikan kepada golongan tertentu seperti jemaah haji sahaja. – UTUSAN ONLINE











