FRESNO, California – Sebuah restoran piza membuat tawaran unik dengan memberikan piza percuma kepada pelanggannya tetapi menetapkan syarat mereka perlu menyimpan telefon bimbit masing-masing semasa menikmati hidangan, lapor Fox News.
Restoran Curry Pizza Company yang terletak di sini melancarkan promosi tersebut yang dinamakan Talk to Each Other Discount.
Menurut pengurusan restoran berkenaan, pelanggan merangkumi sekurang-kurangnya empat orang memasuki restoran itu mempunyai pilihan untuk menyimpan telefon mereka di dalam almari premis tersebut.
Jika mereka boleh menghabiskan makanan tanpa memeriksa telefon masing-masing, mereka boleh sama ada mendapat piza percuma untuk dibawa pulang atau dihidangkan semasa berkunjung semula ke restoran tersebut.
Pelanggan juga diberikan pilihan untuk mendermakan piza percuma itu kepada golongan gelandangan.
“Objektif kami adalah untuk keluarga atau rakan-rakan berhenti menggunakan telefon ketika makan supaya mereka dapat berbual antara satu sama lain dan berkomunikasi,” kata pihak pengurusan restoran itu di laman Facebooknya.
“Jika anda mahu, anda boleh menerima piza besar bagi setiap kumpulan untuk kunjungan seterusnya selepas tempoh 24 jam atau anda boleh mendermanya kepada mereka yang memerlukan. Kami menderma piza kepada gelandangan di pusat bandar Fresno setiap bulan,” kata kenyataan tersebut. – Agensi










