PASIR PUTEH – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa, dekat sini dengan kerjasama warga kerja termasuk pengusaha kantin sepakat menyediakan dana RM5,000 sebagai skim intensif kepada murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Yang DiPertua PIBG sekolah itu, Abd. Ghani Mohd. Kanapiah berkata, dana tersebut akan diagihkan kepada setiap murid yang mendapat 6A dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan yang akan diadakan selepas keputusan UPSR hujung tahun ini.
“Insentif ini dicetuskan untuk memberi galakan kepada murid Tahun Enam meningkatkan usaha mendapat cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada September nanti.
“ Ia dipersetujui semua ibu bapa yang turut mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak masing-masing belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Laksa Sambil Menderma anjuran PIBG sekolah itu hari ini.
Abd. Ghani berkata, kebanyakan PIBG sekolah di daerah ini menganjurkan majlis sedemikian bagi menampung kekurangan dana tabungan persatuan kerana tiada peruntukan khusus disalurkan.
Bagi mencapai perancangan skim intensif kecemerlangan UPSR yang melibatkan RM5,000 itu PIBG akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM
RM2,000, pengusaha kantin RM2,000 dan sumbangan guru sebanyak RM1,000.
“Ibu bapa juga sentiasa diberi motivasi untuk membantu memantau pembelajaran anak-anak di rumah dan sentiasa berkolabratif dengan guru bagi mencapai sasaran kecemerlangan UPSR,” katanya. – UTUSAN ONLINE











