PARIS – Gol jaringan pemain sendiri membawa malapetaka buat pasukan pilihan, Brazil apabila ia menjadi punca kekalahan mengejut 2-3 kepada Australia dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia Wanita awal hari ini.
Walaupun selesa mendahului 2-0 di awal babak pertama menerusi Marta (pen-27) dan Criatiane (m-38), Brazil seperti hilang punca dengan membiarkan Australia bangkit dengan tiga gol dalam baki perlawanan selepas itu menerusi Caitlin Foord (m-45), Chloe Logarzo (m-58) termasuk jaringan sendiri Monica (m-66).
Ini merupakan kekalahan pertama Brazil dalam kempen peringkat kumpulan di Piala Dunia Wanita selepas 24 tahun menyebabkan peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya menjadi tidak menentu dan bergantung kepada aksi terakhir kumpulan menentang Itali.
“Walaupun saya terasa disanjung di sini (kerana masih mampu terus menjaringkan gol pada penampilan Piala Dunia kelimanya), nampaknya banyak yang masih perlu kami lakukan pada edisi kali ini,” kata Marta yang turun beraksi buat kali pertama selepas direhatkan akibat cedera pada aksi pembukaan menentang Jamaica sebelum ini.
Sementara itu, kemenangan 1-0 China ke atas Afrika Selatan memberi pengesahan awal buat pendahulu Kumpulan C itu, Jerman mara ke pusingan kedua untuk menyertai Perancis yang juga layak awal dari Kumpulan A.
Jaringan Li Ying di babak pertama bagaimanapun sekadar mengesahkan bahawa peluang China untuk mara masih ada selepas tewas 0-1 kepada Jerman sebelum ini. Jerman yang merupakan juara dunia pada 2003 dan 2007 turut menewaskan Sepanyol 1-0 semalam.
“Kemenangan ini adalah untuk semua pemain. Mereka berhak menerimanya. Saingan lebih sengit menanti kami selepas ini dan saya berharap kami mampu meneruskan cabaran di sini,” kata jurulatih China, Jia Xiuquan.
China akan menentang Sepanyol dalam aksi penting buat kedua-dua pasukan manakala Jerman berdepan Afrika Selatan untuk sekadar melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan. – AFP










