KUALA LUMPUR – Kejayaan meledak empat gol bersama skuad Harimau Malaya pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sudah pasti melonjakkan nama Shahrel Fikri Md. Fauzi.
Penyerang Perak itu menjaringkan satu gol ketika membantu Malaysia membelasah Timor Leste 7-1 dalam aksi pertama pada 7 Jun, sebelum meledak hatrik pada aksi timbal balik, Selasa lalu untuk mencatat kemenangan agregat 12-2 dengan kedua-dua aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Secara peribadi, penyerang Perak itu berharap dia dapat meneruskan kecemerlangannya dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) yang kembali bersambung selepas hampir tiga minggu berehat apabila menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.
Bagaimanapun, Shahrel mengakui, empat gol yang dijaringkan bersama skuad kebangsaan masih belum memberi jaminan kepada dirinya untuk beraksi dalam kesebelasan utama The Bos Gaurus memandangkan persaingan sengit yang perlu dihadapi terutamanya import.
“Saya tidak tahu percaturan jurulatih macam mana sama ada akan diturunkan dalam kesebelasan utama atau bertindak sebagai pemain gantian. Tambahan pula, saya sudah lama tidak berlatih bersama Perak.
“Beraksi dengan skuad kebangsaan berbeza berbanding bermain bersama kelab. Perak ada import (persaingan tinggi).
“Bagaimanapun, saya perlu memastikan momentum positif ini dapat diteruskan terutamanya dalam saingan liga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shahrel yang lebih dikenali Eky berkata, dia tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang beraksi bersama skuad kebangsaan bagaimanapun tempoh rehat yang singkat membuatkan pemain berusia 24 tahun itu kepenatan.
“Waktu rehat tidak banyak jadi saya agak kepenatan. Saya sempat berehat sehari selepas perlawanan menentang Timor Leste dan sekarang saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadapi PJ City FC,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










