PENDEDAHAN mengenai kehilangan 831 orang kanak-kanak dan remaja di seluruh negara sejak tahun 2010 hingga akhir bulan lalu mengejutkan ramai pihak terutama ibu bapa yang kini bimbang akan keselamatan ahli keluarga mereka.
Berdasarkan maklumat dalam laman web Kanak-Kanak Hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 60 daripada kanak-kanak dan remaja tersebut dikategorikan sebagai kes kehilangan terkini apabila laporan dibuat antara 10 Februari 2018 dan 26 Mei lepas
Apa yang membimbangkan, sebanyak 30 mangsa terbaharu ini merupakan kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun manakala 30 lagi adalah remaja berusia 13 hingga 17 tahun. Lebih separuh kanak-kanak yang hilang adalah lelaki manakala kebanyakan remaja yang hilang pula adalah perempuan.
Untuk mengatasi kebimbangan serta menangani masalah kehilangan kanak-kanak dan remaja, saya berharap pihak PDRM serta agensi berkaitan dapat berkongsi sebab-sebab mangsa hilang serta maklumat lain yang boleh membantu usaha pencarian mereka.
Dilaporkan, secara purata empat orang kanak-kanak dan remaja hilang setiap hari di Malaysia namun kebanyakan mereka berjaya ditemui.
Berdasarkan jawapan yang dibentangkan di Dewan Rakyat, seramai 7,654 individu di bawah usia 18 tahun dilaporkan hilang dalam tempoh 2013 hingga 2016.
Daripada jumlah itu, 6,227 orang sudah ditemui semula, sementara 1,127 orang lagi masih gagal dikesan dalam tempoh berkenaan.
Antara punca utama hilang disebabkan mahu mencari kebebasan, mengikut kawan, mengikut kekasih, salah faham keluarga, tidak berminat untuk belajar, mencari kerja, hilang bersama ibu atau bapa serta tidak mendapat perhatian keluarga.
Adalah penting untuk mengetahui sebab-sebab kehilangan kerana ada juga kes-kes yang melibatkan penculikan untuk tebusan, pemerdagangan kanak-kanak dan eksploitasi seksual.
Orang ramai juga perlu mengetahui jumlah mereka yang berjaya ditemui dengan selamat, cedera atau terbunuh. Ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran tentang bahaya yang dihadapi oleh kanak-kanak dan remaja yang dilaporkan hilang.
Oleh itu, kes-kes kehilangan perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa agar kehilangan yang disahkan dapat disebarkan melalui perkhidmatan National Urgent Response (NUR) Alert yang turut merangkumi Facebook, pesanan multimedia dan laporan berita.
NUR Alert merupakan sistem amaran awal untuk kes kanak-kanak hilang dan ia diperkenalkan selepas berlakunya kes penculikan dan pembunuhan yang menggemparkan negara melibatkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun Nurin Jazlin Jazimin pada 2007.
Program yang sama amat berjaya di Amerika Syarikat (AS) dan ia dikenali sebagai AMBER Alert, ekoran peristiwa hitam penculikan dan pembunuhan seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun, Amber Hagerman, di Arlington, Texas, pada 1996. AMBER Alert juga adalah akronim bagi America’s Missing Broadcasting Emergency Response.
Bagi meningkatkan keberkesanan sistem NUR Alert, semua pihak termasuk orang awam, pemandu teksi dan kenderaan awam perlu meningkatkan jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa selain bertindak sebagai mata dan telinga di setiap peringkat dan tempat.
Penyebaran maklumat yang tepat dan cepat amat penting dalam usaha mengesan mangsa terutamanya mereka yang menjadi mangsa penculikan.
Saya percaya institusi keluarga yang kukuh dan masyarakat yang prihatin amat penting bagi menangani kes kehilangan melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Usaha pihak PDRM dan juga agensi berkaitan yang lain untuk menangani kes kehilangan kanak-kanak dan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk orang awam yang perlu sentiasa menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak dan remaja hilang boleh menghubungi balai polis terdekat atau Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di talian 03-22666313 atau fax ke 03-22666299 atau e-mel [email protected]
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).










