KEMAMAN – Beberapa peniaga di Kampung Meraga Beris dan Kampung Kijal dekat sini mendakwa menjadi mangsa seorang pelanggan wanita yang disyaki membayar dengan menggunakan wang tunai RM100 yang disyaki palsu pada Ahad lalu.
Suspek wanita berusia 30-an yang memakai baju kebaya dan bertudung coklat tersebut dipercayai telah menggunakan beberapa not wang tunai RM100 disyaki palsu terbabit untuk membeli barangan runcit dan makanan di beberapa premis perniagaan di sekitar perkampungan berkenaan.
Salah seorang mangsa, Nurhaslida Mohamad, 36, mendakwa kedai keropok lekornya di Kampung Meraga Beris telah dikunjungi suspek yang menaiki sebuah kereta Toyota Corolla Altis dipandu seorang lelaki berusia 50-an.
“Wanita itu membeli keropok lekor pada harga RM15 dengan menggunakan wang tunai RM100 dilipat dua. Saya yang tidak mengesyaki apa-apa selain agak sibuk kerana perlu melayani ramai lagi pelanggan pada waktu itu telah menyerahkan wang baki RM85 kepadanya.
“Dia kemudiannya cepat-cepat meninggalkan kedai saya dengan menaiki kereta Toyota Carolla Altis terbabit. Tidak lama kemudian datang seorang peniaga lain mencari wanita itu kerana mendakwa turut menerima wang palsu,” dakwanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Nurhaslida mendakwa dia yang merasa was-was kemudiannya telah menunjukkan wang tunai RM100 yang diterima kepada suaminya dan perbandingan dengan wang tunai RM100 asli yang dimiliki mereka mendapati duit yang diberikan wanita terbabit adalah palsu. – K! ONLINE











