KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mengingatkan sebilangan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka sepatutnya menyokong keputusan muktamad Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.
Sambil meluahkan rasa kecewa dengan kritikan yang dilemparkan itu, Mohd. Redzuan menggesa semua pihak termasuk daripada pembangkang berhenti mempolitikkan pelantikan tersebut.
“Pemimpin PH sepatutnya sedar rakyat mahu lebih banyak tindakan dan kurang bermain politik.
“Mereka sepatutnya memberi Mahathir sokongan mereka, bukannya mengulas keputusannya,” kata beliau kepada Utusan Online hari ini.
Beliau yakin rakyat memahami keperluan untuk pembaharuan tetapi pihak-pihak yang mempersoalkan keputusan Perdana Menteri dalam pelantikan Latheefa ‘tidak boleh terlalu obses sehingga ke tahap mengehadkan kerajaan daripada untuk mara mencapai pembaharuan itu’.
Tegas Mohd. Redzuan:
“ Latheefa terkenal dengan sikap tegasnya.
“Saya fikir pihak yang membantah pelantikan Latheefa ini barangkali mereka ini jahil, taksub dengan reformasi atau mungkin takut dipanggil untuk siasatan SPRM.” – UTUSAN ONLINE











