Memang tak dinafikan, waktu-waktu sebegini ramai pesakit memenuhi bilik bersalin lama sebuah hospital di Muar, Johor. Aku baru berpindah ke hospital ini dan mula berkhidmat pada tahun 1985 sebagai salah seorang Medical Officer (MO) di Jabatan Sakit Puan.
Bilik-bilik di sini semuanya dipenuhi pesakit kecuali bilik nombor 3. Ini kerana aku dengar banyak cerita-cerita mistik berlaku terhadap staf wad bersalin berkaitan dengan bilik tersebut. Ia bermula selepas seorang pesakit mengalami tumpah darah di situ dan kemudian meninggal dunia.
Selepas kejadian itu, kerap kali mereka yang lalu-lalang di hadapan bilik tersebut akan ternampak seorang pesakit berkain batik duduk di atas katil. Sedangkan bilik itu sebenarnya tidak berpenghuni. Staf di situ seboleh-bolehnya tidak mahu menggunakan bilik berkenaan untuk meletakkan pesakit.
Akhirnya, bilik Nombor 3 jadi seperti last resort. Guna hanya apabila terpaksa saja. Ini kerana akan terjadi banyak komplikasi peranakan kepada mereka yang bersalin di bilik itu. Terjerut tali pusat, tekanan darah rendah secara tiba-tiba dan ada yang tiba-tiba meracau seperti kerasukan. Kiranya, bilik itu menjadi bilik terakhir setelah bilik lain dipenuhi pesakit.
Pada kebanyakan masa, bilik nombor 3 itu tidak digunakan dan pintunya sentiasa tertutup rapat. Walaupun pintu pintunya ditutup, itu tidak bererti `penghuninya’ tidak mengganggu.
Aku dengar cerita, sudah banyak staf dan pelajar dikacau. Aku juga mengalaminya. Kadangkala terdengar suara ‘pesakit’ di bilik berkenaan meminta air. Selain itu, kadang-kadang mesin Dynamap tiba-tiba berbunyi mengeluarkan bunyi alarm.
Bunyi ketukan pintu dan suara tangisan dari dalam bilik itu, adalah perkara yang amat biasa. Begitu juga dengan suara jeritan dan memanggil namaku. Pada waktu yang lain kedengaran suara meronta-ronta meminta pertolongan.
Ya, kejadian itu agak mistik, tetapi aku sudah dilatih untuk mengabaikannya. Masakan tidak, kalau aku terlalu takut, bagaimana aku hendak buat keputusan dalam memberikan rawatan yang betul kepada pesakit.
Lokasi bilik bersalin itu pula berhampiran penjara dan bilik mayat. Nampak agak klise, namun itulah lokasinya. Lokasi bilik bersalin yang lama. Dan di hadapannya terletak bilik bayi.
TANGISAN
Segala-galanya berubah pada hari itu, malam Jumaat. Di luar mendung sejak petang tadi.
Bilik bayi hampir penuh. Bilik ini terletak bertentangan dengan barisan bilik bersalin untuk para ibu (pesakit) dan dipisahkan oleh ruang pejalan kaki yang lebih kurang tiga meter lebarnya.
Bilik Nombor 3 tadi letaknya betul-betul berhadapan dengan bilik bayi, hanya dipisahkan oleh ruang pejalan kaki tadi.
Bayi-bayi berada di dalam kot. Kot itu pula ditiup oleh angin panas daripada sebuah mesin dipanggil radiant warmer. Walaupun keadaan di bilik itu sejuk, namun bayi yang diletakkan di situ merasa hangat. Hangat yang akan membuatkan mana-mana orang dewasa berasa mengantuk dan tertidur.
Dalam pada itu sebaik sahaja selesai menyambut seorang pesakit, aku berehat di pantri.
“POONNGGG!!”
Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu bilik bayi tertutup dengan begitu kuat sekali, membuatkan aku terkejut. Terus aku bangun dan menuju ke arah bilik bayi. Pintunya tertutup rapat. Staf-staf di sana memandang muka aku, aku pun memandang mereka kembali. Masing-masing tercengang.
Aku yakin tiada angin yang mampu menutup pintu sekuat itu taktala pintu itu sudah disendal dengan kayu, untuk memastikannya sentiasa terbuka.
“Apa jadi, kak?” aku bertanya kepada salah seorang bidan di situ.
“Entahlah doktor, tiba-tiba je terhempas,” jawabnya. Mukanya agak cuak.
“Ada sesiapa masuk ke?” aku bertanya.
“Mana ada, doktor. Tapi kita kena buka balik, kasihan baby kat dalam tu,” kata sister pula.
Ya, kesian. Dari luar itu kami dapat dengar suara tangisan bayi dalam bilik berkenaan. Pasti bayi-bayi itu terkejut dengan bunyi pintu terhempas tadi.
Pintu bilik itu memang sentiasa dibiarkan terbuka, jadi kalau terjadi apa-apa, kami boleh dengar dari luar. Tanpa disuruh, aku segera ke situ. Sewaktu melangkah ke bilik bayi, sekilas mata, terpandang juga pintu bilik bersalin Nombor 3 terbuka sedikit, kemudian tertutup kembali. Mungkin angin fikirku.
Saat aku berjalan masuk ke dalam bilik bayi itu, semerbak bau bunga tanjung bercampur dengan bau setanggi tiba-tiba menyapa hidung. Cukup kuat. Itu aku tak risau sangat, yang lebih merisaukan adalah bayi-bayi yang sedang menangis.
Aku rapati mereka seorang demi seorang. Ada yang membuka mata. Mana-mana bayi yang membuka mata, bola-bola mata mereka tertumpu pada satu sudut di bilik itu. Memandang tepat di atas sebuah kabinet ubat-ubatan.
Aku mula gelabah. Aku tahu mereka sedang melihat sesuatu. Kejadian pintu tertutup sendiri dan bau yang harum semerbak meyakinkan aku akan kehadiran sesuatu di tempat bayi-bayi itu memandang.
Tapi apa dia?
Aku menguatkan diri untuk menoleh. Perlahan-lahan aku memalingkan kepala dan di hujung mataku, aku dapat melihat ada `sesuatu’ yang sedang duduk di atas kabinet. Ia mencangkung dan memandang ke arah bayi-bayi berkenaan. Namun makhluk itu hilang sekelip mata sebelum sempat aku memastikan kewujudannya.
Tangisan bayi-bayi di situ semakin kuat memenuhi ruang. Berdasarkan pengetahuan aku dan pengalaman aku dalam bidang perubatan, aku rasakan tidak mampu membantu apa-apa. Aku tiada pilihan lain.
Aku segera mencari seorang pegawai keselamatan di situ. Pak Samad sudah berpuluh tahun bekerja di hospital ini. Maka tidak hairanlah dia dengan perkara-perkara sebegini, aku fikir.
Pak Samad memang sedang bekerja pada waktu itu. Dia segera ke bilik bersalin setelah menerima panggilan daripada aku. Memang aku simpan nombornya kerana empat bulan lepas `benda’ di dalam bilik bersalin Nombor 3 itu menggila.
Ia mengilai, ketawa, menjerit dan menangis serta mengeluarkan haruman bau kemenyan. Pak Samadlah orang yang berjaya meredakan gangguan tersebut.
TUTUP
Aku menuruti Pak Samad dari pintu masuk bilik bersalin hingga ke bilik bayi. Menggeletar juga aku waktu itu. Pak Samad memberi salam. Suaranya yang garau itu hampir tenggelam dek tangisan bayi yang agak kuat. Segera aku lihat dia mengeluarkan tasbih serta mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran, antaranya ayat Kursi, tiga Qul dan beberapa ayat lain. Perlahan sahaja suara Pak Samad.
Saat itu aku nampak kabinet ubat bergegar dengan kuat. Hampir nak pecah cerminnya. Aku makin cemas apabila bau bunga tanjung dan setanggi itu bertukar menjadi bau yang amat busuk. Seperti bau cuka. Tangisan bayi makin menjadi-jadi.
Ketika aku tekun memerhatikan Pak Samad bertarung dengan gangguan itu, tiba-tiba kurasakan badanku dirempuh sesuatu. Menderu laju ibarat angin kencang menolak tubuhku hingga hampir terjatuh.
Kreeeek!
Pintu bilik bersalin Nombor 3 yang letaknya bertentangan dengan bilik bayi, yang tadi tertutup tiba-tiba terbuka luas. Sekilas mata memandang, aku nampak ‘seorang wanita’ berkain batik memanjat ke atas katil pesakit. Pandangan beberapa saat itu kemudiannya terhalang dek pintu bilik tersebut yang tiba-tiba sahaja tertutup rapat. Berdentum dengan kuat.
Serentak itu, bayi-bayi di dalam bilik tersebut berhenti menangis. Senyap semuanya. Menggeletar aku ketakutan. Bidan-bidan yang tadi sedang bekerja, juga terhenti sebentar. Masing-masing terkejut, namun aku lihat mereka teruskan membuat kerja kerana pesakit lain perlu dijaga dan dipantau juga,
Pak Samad tersenyum melihat wajahku yang pucat lesi. Ditepuknya bahu aku, dan dipesan sekali lagi
“Jangan guna bilik Nombor 3 tu lagi. Sepatutnya alih semua barang-barang dalam tu dan kosongkan,” katanya.
“Ya Pak Samad, memang kami tak guna sangat bilik tu dah, kalau terpaksa sahaja baru guna. Memang ada lagi ke `dia’ dalam tu?” tanyaku.
“Dah berkali-kali aku nampak perempuan berambut panjang dan mendukung seorang bayi, memerhati aku dari tingkap bilik Nombor 3 tu masa aku berjalan di luar. Memang `dia’ masih ada, tetapi dia terlalu susah untuk tinggalkan tempat tu,” kata Pak Samad, dan kemudian menyambung…
“Orang kita ini semua dah tahu kena azan atau iqamat saat bayi dilahirkan. Tapi aku perhati juga, suami-suami yang baharu-baharu tertutup rapat mulut mereka, terkunci dan macam malu pula untuk berbuat demikian ketika anak dilahirkan. Puncalah tu. Tak dengar azan, tak dengar iqamat, memang seronoklah ‘benda’ tu merayau dalam bilik bersalin ni. Paling-paling kita boleh buat pun pagarkan sahaja dia dalam bilik Nombor 3 tu, biar dia duduk dalam tu, jangan kasi keluar.”
Sejak daripada hari itu, aku pastikan aku sudah berwuduk dan membaca ayat Kursi serta tiga Qul sebelum masuk ke bilik bersalin. Aku juga jadikan tabiat untuk mengingatkan suami-suami pesakit supaya tidak lupa azan atau iqamat saat anak mereka dilahirkan.
Masakan tidak, Pak Samad pun aku dengar bakal pencen beberapa bulan lagi. Bilik bersalin yang baharu dan lebih berteknologi pula masih dalam proses pembinaan. Aku berdoa, agar percepatkanlah pembinaan bilik bersalin baharu itu. Nanti jadi apa-apa, susah (Dr. Onn Azli Puade, Muar, Johor).











