Op Selamat: Faktor terbabas sendiri punca kemalangan di Perak - Utusan Malaysia

Op Selamat: Faktor terbabas sendiri punca kemalangan di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sikap tidak berhati-hati pemandu kenderaan dan penunggang motosikal menjadikan faktor terbabas sendiri sebagai punca utama kemalangan maut di negeri ini sepanjang Op Selamat 15/2019 sempena Aidilfitri yang berakhir semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada 34 mangsa yang terkorban dalam 26 kes kemalangan maut pada tahun ini, sembilan daripadanya adalah disebabkan oleh terbabas sendiri.

Katanya, faktor lain yang turut menyumbang kepada punca kemalangan adalah hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan, cuai keluar simpang, langgar belakang, bertembung dan mengekor rapat kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Op Selamat 15 yang berlangsung selama 15 hari bermula 29 Mei lalu merekodkan 26 kes kemalangan maut berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 31 kes.

“Walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak lima kes atau 16 peratus, kadar kematian mencatatkan peningkatan daripada 32 kematian pada Op Selamat 13/2018 kepada 34 kematian tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Razarudin berkata, sebanyak 2,080 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negeri pada tahun ini berbanding 1,919 kes pada tahun sebelumnya sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 161 kes.

Ujar beliau, jalan bandaran kekal merekodkan lokasi kemalangan tertinggi sebanyak 737 kes diikuti jalan persekutuan (530), jalan negeri (344), lebuh raya (331) dan jalan lain dengan 138 kes.

“Sebanyak 24,924 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya pada Op Selamat kali ini berbanding 39,928 pada tahun sebelumnya dengan kesalahan pandu laju merekodkan jumlah tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menerima 2,425 laporan balik kampung oleh orang awam yang meninggalkan kediaman mereka untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Justeru itu katanya, sebanyak 6,426 premis telah dilawati oleh kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan elemen balai dan lain-lain rondaan bagi menjaga keselamatan rumah penduduk.

“Kesedaran orang ramai terhadap keperluan memaklumkan kepada pihak polis tentang ketiadaan mereka di rumah menunjukkan perubahan positif sekali gus memperlihatkan keyakinan mereka terhadap fungsi pasukan keselamatan.

“Kita berharap, langkah mengisi borang sama ada menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), hotline 999 atau borang balik kampung yang diisi di balai polis berhampiran dapat diteruskan walaupun bukan pada waktu perayaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini