MTUC gesa kaji semula tiga akta berkaitan pekerja - Utusan Malaysia

MTUC gesa kaji semula tiga akta berkaitan pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengkaji semula dengan mempertimbangkan beberapa cadangan melibatkan hak dan kebajikan pekerja swasta negara ini untuk dimasukkan dalam Akta Kerja 1955.

Antara cadangan dikemukakan MTUC adalah elaun kos sara (COLA) sebanyak RM300, meningkatkan tempoh cuti bersalin dari 60 hari hingga ke 90 hari, memperuntukkan cuti bergaji sebanyak 30 hari kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan Haji dan elaun perumahan bagi pekerja di bandar.

Selain Akta Kerja 1955, Setiausaha Agungnya, J. Solomon turut meminta kerajaan mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau, MTUC akan mengemukakan cadangan pindaan yang komprehensif untuk ketiga-tiga akta tersebut dalam usaha menambah baik kebajikan pekerja dan membela nasib golongan itu.

Katanya, undang-undang buruh di negara ini sudah lapuk kerana kebanyakannya digubal sekitar tahun 50an dan 60an dengan hanya beberapa pindaan terhad yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini yang memerintah negara.

“Persekitaran dunia kini telah berubah dengan tumpuannya kepada nilai-nilai kemanusiaan, maruah dan hak pekerja. Oleh itu, pembaharuan undang-undang pekerja di negara ini yang sudah lama tertunda perlu disegerakan.

“MTUC juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia (M. Kulasegaran) yang mengusulkan pembaharuan undang-undang buruh secara menyeluruh. Ini sememangnya diperjuangkan oleh MTUC sejak 1970,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Solomon turut menekankan keperluan untuk menggubal undang-undang yang mewajibkan semua pekerja menjadi ahli kesatuan selaras dengan hak golongan itu mendapatkan perwakilan kesatuan bagi menangani masalah di tempat kerja mereka.

Ini kerana, katanya, pada masa ini hanya enam peratus daripada keseluruhan pekerja swasta di negara ini merupakan ahli kesatuan.

Tambah beliau, hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi bukan sahaja memerlukan pekerja berkualiti tetapi majikan yang berkualiti juga bagi memastikan kebajikan pekerja di bela untuk meningkatkan produktiviti negara.

“MTUC yakin kerajaan dan majikan akan menimbang dengan serius kesemua cadangan kami. Keperluan untuk merapatkan jurang pendapatan di Malaysia tidak boleh dilengahkan lagi, semua pihak berkepentingan harus beriltizam memastikan pengagihan saksama kekayaan negara.

“Pada masa sama, pekerja juga perlu mengubah budaya kerja mereka ke arah menjadikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan meraih manfaat daripada kejayaan itu.

“Sudah 60 tahun kami menunggu pembaharuan undang-undang buruh di negara ini dilaksanakan, kini peluang terbaik untuk menjayakannya. Oleh itu, marilah kita bekerjasama untuk menjadikan matlamat ini kenyataan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini