Mohd. Yusof bina empayar Matt Barbershop di Terengganu - Utusan Malaysia

Mohd. Yusof bina empayar Matt Barbershop di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan memberi khidmat menggunting rambut secara percuma kepada kawan-kawan, siapa sangka individu tersebut kini berjaya memiliki beberapa cawangan kedai gunting rambut sendiri dikenali Matt Barbershop di seluruh Terengganu.

Bukan setakat itu, jika dahulu dia sendiri menggunting rambut pelanggan tetapi kini telah mempunyai 50 kakitangan yang bertugas di bawah pengurusannya.

Memasuki pertengahan 2019, Mohd. Yusof Taib, 37, kini mempunyai sembilan cawangan Matt Barbershop iaitu di Wakaf Tembusu, Bukit tunggal, Padang Midin, Gong Badak, Jalan Sultan Sulaiman, Gong Pak Jin, Panji Alam, Batu Rakit dan Chukai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd. Yusof mula menceburi bidang gunting rambut apabila telah diterima bekerja di salah sebuah kedai gunting rambut di kampungnya sendiri di Batu Enam, Kuala Terengganu.

Katanya, setelah hampir setahun bekerja dengan majikan, timbul perasaan dalam dirinya untuk membuka perniagaan kedai gunting rambut sendiri.

“Bermula dari situ, saya terus mendalami ilmu perniagaan dan memperbaiki teknik menggun­ting rambut lebih berkemahiran.

“Berbekalkan sedikit modal, pada tahun 2006 saya telah membuka sebuah kedai gunting rambut kecil yang diberi nama Kedai Gunting Wakaf Tembusu,” ujarnya.

Adat berniaga pasti ada pasang dan surutnya, begitulah juga yang dialami dengan Mohd. Yusof.

Dalam tempoh itu sehingga 2014, Mohd. Yusof membuka beberapa kedai tetapi ia tidak bertahan lama disebabkan beberapa faktor termasuk jumlah pelanggan, tenaga kerja dan pengendalian operasi yang tidak sistematik.

Namun, kerana minatnya yang mendalam, Mohd. Yusof tidak mahu mengalah lantas mencuba kaedah penjenamaan semula kedai gunting rambutnya kepada Matt Barbershop.

Menampilkan dekorasi moden dan eksklusif, ternyata kaedah penjenamaan semula itu memberikan tuah buat dirinya apabila kedai gunting rambutnya itu mula dikenali ramai dan ouletnya sering penuh dikunjungi pelanggan setiap masa.

“Matt Barbershop merupakan kedai gunting rambut moden seperti salon dan menawarkan perkhidmatan pada harga yang sangat berpatutan.

“Daripada kesembilan kedai tersebut, terdapat satu yang berkonsepkan premium iaitu di cawangan Jalan Sultan Sulaiman yang turut mempu­nyai ruang minuman dan bilik persendirian,” ujarnya.

Matt Barbershop menyediakan kemudahan menggun­ting rambut pada harga RM10 bagi dewasa, RM8 (pelajar sekolah) dan RM7 (kanak-kanak) manakala RM10 pula untuk mencuci rambut.

Selain khidmat menggunting rambut, Matt Barbershop turut membekalkan produk seperti pomade, gel, krim, syampu, to­nik rambut dan sebagainya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Mohd. Yusof memberitahu, pihaknya mempunyai perancangan untuk membuka sebuah lagi cawa­ngan berkonsep premium di Jalan Te­luk Sisek, Kuantan dan seterusnya meluaskan sehingga ke seluruh pantai timur menjelang 2020.

Selain itu, sebagai seorang usahawan yang sentiasa bermotivasi, Mohd. Yusof telah menubuhkan sebuah pusat latihan kemahiran, Matt Barber Aca­demy yang menyediakan kursus dalam bidang penggayaan dan pengguntingan rambut lelaki pada akhir tahun 2016.

Jelas Mohd. Yusof, idea penubuhan itu adalah untuk memenuhi kehendak industri dalam bidang gunting rambut terutamanya kepada perniagaan Matt Barbershop itu sendiri.

“Kursus yang ditawarkan menggabungkan pembelajaran teori di dalam kelas dan pe­ngalaman praktikal di cawa­ngan-cawangan Matt Barbershop.

“Pengambilan peserta terhad kepada lelaki sahaja manakala terdapat dua pilihan kursus yang ditawarkan iaitu sijil asas dan sijil profesional,” ujarnya.

Dengan tertubuhnya Matt Barber Academy, secara tidak langsung ia dapat melahirkan tukang gunting rambut terlatih sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.

Sehingga April 2019, seramai 90 orang tukang gunting telah dilahirkan daripada Matt Barber Academy dan berpeluang bekerja di cawangan Matt Barbershop.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini