KUALA LUMPUR – Kapten skuad hoki lelaki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berharap kehadiran legenda hoki Australia, Michael McCann dapat membantu mempertajamkan barisan penyerang negara dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata peluang berlatih bersama bekas penyerang Australia berusia 41 tahun itu akan memberi impak positif berdasarkan pengalaman luas dimiliki McCann sepanjang membantu pasukan di ranking kedua dunia itu mengecapi pelbagai kejayaan di pentas dunia.
Dalam masa sama Mohamad Sukri turut berharap usaha tersebut mempunyai kesinambungan untuk memastikan objektif utamanya tercapai.
“Sebenarnya bagus program ini (memanggil McCann) kerana barisan penyerang negara akan mendapat khidmat seorang legenda Australia dengan setiap hari mereka akan berlatih bersamanya.
“Cuma apa mustahak saya harap program ini akan ada kesinambungan supaya matlamat utama berjaya dicapai dan memberi kesan positif pada masa hadapan. Kita tidak mahu ada program yang terbantut,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini. – BERNAMA










