Misi UMNO-Pas mengurus perubahan - Utusan Malaysia

Misi UMNO-Pas mengurus perubahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUMUSLAH apa jua pun formula, asalkan UMNO dan Pas boleh menjadi sandaran utama orang Melayu bagi mempertahankan hak dan keistimewaan sebagaimana sepatutnya, di bumi Malaysia. Memudahkan rujukan ialah, seperti kedudukan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ramai yang tidak menyangka, damai harmoni yang menyelubungi kehidupan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan lebih enam dekad lalu tiba-tiba ‘terkocah’. Warna kehidupan pun mula terpalit kekeruhan. Apakah ini yang diidami rakyat Malaysia sebenarnya?

Semuanya gara-gara berpolitik tanpa mengira batas pertimbangan. Lalu terjadilah sebagaimana kata pepatah, “lain hulu, lain parang; lain dahulu, lain sekarang..!”. Dahulu tidak timbul persoalan tentang sentimen kaum. Sekian lama, semua berpijak pada konsep saling menerima dan menghormati mengikut struktur kenegaraan yang sudah sedia dipersetujui.

Memuatkan artikel berkaitan…

Congak dan hitunglah nasib Melayu! Kenapa resah dan bimbang mendatangi perasaan sejak ketiadaan UMNO mendominasi pemerintahan? Jawablah secara jujur, parti mana yang berpaksi Melayu mampu berperanan seperti UMNO menerajui pemerintahan sehingga negara kekal maju dan stabil bersilih abad? Ini kenyataan, bukan khayalan.

Kestabilan di sini bermakna, pembangunan negara berjalan secara konsisten, manakala seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan menikmati kemakmuran bersama secara inklusif dan adil saksama. Yang susah dibantu, dan yang kaya dikongsi.

Dahulu semua pihak mengutamakan sikap ‘kesederhanaan’ dan sentiasa mencari ‘kata sepakat’ dalam membuat sebarang keputusan, terutama membabitkan kepentingan kaum dan agama. Barisan Kabinet kerajaan sentiasa santun dan mengawal tutur bicara supaya tidak ‘terlajak cakap’, terutama dalam hal-hal menyentuh kepentingan mana-mana kaum atau agama.

Justeru, berpakatlah UMNO dan Pas dalam sebarang bentuk kerjasama. Yakinlah, orang Melayu tetap menaruh keyakinan bahawa kedua-dua parti itu boleh berperanan menjaga dan memelihara kedaulatan Melayu dan kesucian Islam. Kedaulatan Raja-Raja Melayu juga tetap terjamin. Manakala, prinsip-prinsip Rukun Negara boleh diterjemahkan dalam kehidupan harian.

UMNO dan Pas tetap dianggap parti yang bermaruah. Masing-masing memiliki asas perjuangan berprinsip, jelas dan fokus. Mereka bukan parti serpihan atas nama marah dan benci, bukan juga untuk memelihara maruah peribadi mana-mana individu atau keluarga, serta bukan parti bermirip cauvanis untuk semata-mata mementingkan keperluan umat Islam dan orang Melayu.

Ya, UMNO dan Pas perlu memikul amanah Islam dan Melayu agar tidak ‘diperlekeh’ di tanah air sendiri. Dunia semakin mencabar. Paling dibimbangi apabila ada gerakan ‘mengeliru dan menawan’ (confuse and conquer) agar sesama ummah semakin berpecah dan bertelagah.

Jadi, UMNO dan Pas memang ada sebab untuk menyatu usaha, menghimpun semangat kerjasama menghadapi sebarang suasana yang tidak menyebelahi impian ummah di negara ini. Namun suatu yang pasti, cantuman kerjasama di antara kedua-dua parti berkenaan tidak pernah terniat untuk memusuhi atau berkonfrontasi dengan mana-mana kaum atau penganut agama lain di Malaysia.

Segala cabaran ini perlu disahut oleh UMNO dan Pas. Mereka perlu bergerak atas landasan kepentingan agama dan ummah.

Dan atas nama perjuangan, patah sayap bertongkat paruh, pahit getir perlu dirempuh, asal kejayaan tetap bersimpuh!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini