JASIN – Seluruh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan agar tidak leka dengan kuasa serta kedudukan dimiliki semasa menjadi kerajaan sebaliknya menginsafi nasib yang menimpa kepimpinan kerajaan terdahulu.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, pemimpin PH jangan terlalu bergembira semasa memerintah dan hanyut dengan kuasa wang hingga terlibat rasuah.
Menurutnya, jadikan apa yang berlaku kepada musuh politik (pembangkang) sebagai sempadan supaya perkara sama tidak berlaku dalam PH.
“Saya sedih bila musuh-musuh politik kita kini dihadapkan dengan 20 pertuduhan, 40 pertuduhan, 60 pertuduhan rasuah. Jadikan ia tauladan supaya kita jangan ulang perkara seperti itu.
“Menteri besar, exco cukuplah dengan gaji dan elaun yang diberi. Kalau rasa tak cukup, kita perjuangan kenaikan gaji. Jangan mencuri, sebab kalau kita curi harta kerajaan harta rakyat akibatnya kemudian hari memberi kesan kepada struktur masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah Melaka di Dewan Alamanda, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari. – UTUSAN ONLINE











