KUALA LUMPUR – Seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kampung Lindungan, di sini awal pagi ini tidak sempat melangsungkan perkahwinannya.
Mangsa K. Ganapathy, 32 yang bekerja sebagai mekanik ditemukan maut rentung bersama ibu bapanya K.Kandasamy, 62, S.Jayaletchumy, 59, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.
Ibu Saudaranya, S. Susila, 57, berkata, Ganapathy sepatutnya berkahwin pada bulan Mac tahun depan dan akan melangsungkan pertunangan bulan November ini di rumah keluarga sebelah perempuan di Nilai, Negeri Sembilan.
“Setiap kali jika kami hendak keluar membeli barang hantaran perkahwinan saya akan bawa mereka sekali untuk melihatnya.
“Selain mereka, seorang lagi adik kepada Ganapathy telah meninggal dunia pada Deepavali tahun lalu dan juga berhajat hendak berkahwin namun kini semua keluarga mereka telah tiada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










