ATHENS – Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini belum berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya, meskipun berjaya mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Greece pada aksi kelayakan Kumpulan J Kejohanan Euro 2020 di Stadium Olimpik Athens awal pagi semalam.
Mancini, 54, berpendapat, mereka mensia-siakan banyak peluang terbaik untuk meledak gol keempat pada babak kedua sekali gus membunuh Greece dalam aksi itu.
Tiga gol The Azzurri semuanya dijaringkan pada separuh masa pertama melalui Nicolo Barella pada minit ke-24, Lorenzo Insigne (m-30) dan Leonardo Bonucci (m-33).
“Ini bukan persembahan terbaik kami walaupun berjaya menjaringkan tiga gol untuk meraih kemenangan. Saya kecewa kerana kami gagal mendapat gol keempat pada separuh masa kedua sedangkan banyak peluang yang disia-siakan.
“Pada masa sama, kami hampir-hampir membenarkan gawang kami dibolosi menerusi serangan balas pantas oleh Greece beberapa kali pada perlawanan ini.
“Walaupun kami berada di landasan tepat dengan tiga kemenangan pada peringkat kelayakan setakat ini tetapi ia belum cukup kerana banyak lagi aspek perlu diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, Insigne, 28, menarik nafas lega kerana akhirnya berjaya menamatkan kemarau jaringan hampir setahun lebih di pentas antarabangsa bersama Itali, selepas kali terakhir melakukannya ketika seri 1-1 menentang England pada Mac tahun lalu.
“Saya amat memerlukan jaringan ini kerana ia dapat membantu meningkatkan semangat saya untuk terus membantu Itali mencatat kemenangan demi kemenangan,” jelasnya yang berharap dapat meneruskan rentak tersebut menentang Bosnia-Herzegovina pada aksi seterusnya Rabu ini. – Agensi











