PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama ahli Jemaah Menteri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana di sini pada Hari Raya pertama Aidilfitri bersamaan 1 Syawal 1440H.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis terbuka yang bermula daripada pukul 10 pagi sehingga 4.30 petang itu dijangka dihadiri lebih 50,000 pengunjung.
“Sehubungan itu, orang ramai adalah dijemput hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dengan memakai pakaian yang bersesuaian,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas percuma disediakan dari tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Kompleks Seri Perdana dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit untuk kemudahan orang ramai ke rumah terbuka tersebut.
“Pengunjung dinasihatkan agar menaiki bas di lokasi yang sama untuk pergi balik dan meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” – K! ONLINE











