KOTA BHARU – ‘Luar biasa’. Begitulah gambaran Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob mengenai Rumah Terbuka Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.
Ini berikutan buat pertama kali dalam sejarah Pas menjemput kepimpinan UMNO negeri dan juga pusat hadir memeriahkan sambutan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, setelah puluhan tahun berseteru dan berperang, kepemimpinan kedua-dua parti negeri itu duduk bersama menghubungkan silaturahim.
“Bagi saya bersejarah dan boleh dicatit dalam diari kita, di mana selama ini kita berperang dengan kepemimpinan UMNO tetapi hari ini kita bersahabat dan bersama dalam satu majlis untuk berhari raya dan menikmati juadah hari raya, luar biasa tetapi benar.
“Ini sangat menyentuh perasaan saya kerana kita ingin jadikan Kelantan ini contoh bahawa perpaduan adalah di sini, bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam juga di sini dan mengumpul kekuatan umat Melayu juga di sini.
“Di sinilah tempatnya kita memuliakan bangsa-bangsa lain bebas untuk beragama, kita hormat antara satu sama lain, insya Allah kita akan bergerak bersama dengan kasih sayang bermula dengan Aidilfitri dan kita berharap rakyat Kelantan juga lebih gembira menyambut hari raya tahun ini lebih dari sebelum ini,” katanya ketika berucap di Rumah Terbuka Pas Kelantan di Putik, Pengkalan Chepa di sini hari.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyiddin Hassan; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.
Suasana mesra dapat dilihat di kalangan pemimpin Pas dan UMNO yang duduk makan semeja malah hadirin juga kelihatan teruja untuk bersalaman dan bergambar dengan mereka tanpa mengira perbezaan idealogi politik.
Malah dalam majlis itu juga, Annuar sebagai wakil UMNO turut diberi kesempatan untuk menyampaikan ucapan hari raya kepada hadirin.
Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya turut membacakan petikan hadis Qudsi antaranya yang menyentuh soal memberi kemaafan kepada orang yang pernah menganiaya orang lain.
“Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa baginda dikehendaki untuk memaafkan orang yang menganiayanya, maka saya berseru kita bermaafan antara satu sama lain, supaya kita lebih mesra dan kita mengangkat Islam pada tempat yang sepatutnya,”katanya.
Dalam pada itu, majlis hari raya yang bermula pukul 12 tengah hari hingga pukul 3 petang itu dijangka menarik kedatangan 50,000 pengunjung termasuk bukan Islam. – UTUSAN ONLINE










