Mahu lupakan kisah silam - Utusan Malaysia

Mahu lupakan kisah silam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI seorang anak yang datangnya daripada sebuah keluarga berantakan, Hisyam Hamid mengakui seboleh-bolehnya dia enggan nasib yang sama menimpa anak-anaknya.

Malah andai berbicara mengenai hari raya, perkara inilah yang sering menghantui dirinya kerana saban tahun akan ada sahaja perselisihan faham berlaku antara kedua orang tuanya.

Bukan sengaja mahu membuka aib, tetapi ia adalah satu luahan rasa yang mungkin teladan yang baik dapat dicontohi anak-anak dan orang lain di luar sana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seingat saya, ibu dan ayah saya berpisah ketika berusia 8 tahun. Sejak itu, hari raya adalah hari yang paling saya tak suka kerana memberi memori pahit.

“Sejak perpisahan berlaku, sebagai anak saya rasa seakan tersepit apabila melihat orang tua bertengkar membuat keputusan anak ikut 
siapa.

“Setiap kalinya saya memang akan tahu pertengkaran akan berlaku dan ada masalah hingga meninggalkan kesan benci dalam hati saya,” katanya membuka cerita.

Berkongsi lanjut, dia tidak begitu rapat dengan ayahnya dan setiap kali diajak untuk pulang ke rumah, Hisyam akan cuba mengelak.

“Mungkin dahulu saya terlalu marah dan mengikut perasaan. Ayah nak bawa beraya di rumahnya pun saya rasa berat hati. Adakalanya saya cuma duduk di rumah sahaja, tidak keluar sebab rasa tak suka untuk beraya sampai orang tua pun ‘bising’,” katanya.

Bagaimanapun, seiring dengan peningkatan usia, Hisyam mengaku hubungannya semakin jernih antara dia dan ayah yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Dedah pelakon yang berasal dari Singapura ini, dia semakin faham tingkah orang tuanya apabila sudah mendirikan rumah tangga.

“Sekarang ini baru saya faham kenapa begitu dan begini. Tidaklah sampai saya menyalahkan takdir kenapa keluarga berantakan, cuma terkilan juga kerana perpisahan itu terjadi,” katanya.

Demi anak-anak

Merasakan dirinya perlu bersikap adil dengan anak-anak, pengasas jenama pakaian Hisyam Hamid Ready To Wear (HHRTW) ini selagi boleh mahu membahagiakan dua permata hatinya. Apabila Nurish Syamieliah, 12, dan Haydeen, 10, sudah dewasa, sekurang-kurangnya mereka menyimpan banyak memori bahagia bersama keluarga.

“Sebab itu, sedaya upaya saya nak cipta dan berikan detik menggembirakan sahaja buat anak-anak saya dan mahu mereka hargai.

“Tak mahu mereka lalui pengalaman pahit seperti mana yang saya lalui,” katanya.

Tidak pernah bercerita mengenai episod hitam itu pada kedua-dua anaknya, untuk sesetengah perkara adalah lebih baik disimpan dahulu.

Menyambut lebaran di rumah ibunya di Tempinis, Singapura, saban tahun dia tidak pernah gagal untuk berbuat demikian.

Apabila selesai berhari raya dengan ibu dan keluarga besar di Singapura, kemudian barulah dia akan menziarahi keluarga ayah di sini.

“Alhamdulillah, tahun ini dapat beraya lebih sedikit sebab cuti lama. Sebelum ini agak susah nak dapat cuti lama sebab tuntutan kerja.

“Bayangkan, empat tahun sebelum ini pun pada hari raya keempat saya sudah mula bekerja. Lagipun masa tu saya masih baru dalam bidang lakonan, memang kenalah bekerja keras,” katanya yang bahagia dikurniakan isteri penyayang seperti Rosmawati Hanafi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini