KUALA LUMPUR – Operasi lorong tambah nilai di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dihentikan berkuat kuasa 1 Julai ini.
Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Operasi) Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Ir. Rostam Shahrif Tami berkata, pemberhentian operasi lorong tambah nilai di kedua-dua lebuh raya di bawah kendalian syarikat konsesi itu bagi melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan pengguna yang beratur di lorong tersebut.
“Bagi membantu pengguna AKLEH untuk melakukan transaksi tambah nilai Touch ‘n Go, pengguna dicadangkan untuk menggunakan kiosk layan diri yang disediakan di Pejabat Operasi AKLEH.
“Manakala di GCE adalah di lorong berlapis Touch ‘n Go di Plaza Tol Bukit Jelutong (arah Utara), kawasan Rehat dan Rawat Elmina (arah Selatan dan arah Utara) serta hentian sebelah Lagong, Batu Caves dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan.
Rostam berkata, pengguna juga boleh melakukan transaksi tol menggunakan perkhidmatan aplikasi eWallet (Direct Pay) melalui telefon pintar di semua plaza tol di GCE.
Ujarnya, pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan info trafik terkini GCE, di laman Twitter @GCEtrafik atau layari laman web www.prolintas.com.my atau Facebook di PROLINTAS Highways. – UTUSAN ONLINE











