Lombong bijih mangan di Kuala Koh ada lesen - Utusan Malaysia

Lombong bijih mangan di Kuala Koh ada lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan mengakui pernah memberi lesen kepada sebuah syarikat lombong bijih mangan berhampiran kawasan penempatan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, syarikat itu memohon untuk tempoh kebenaran melombong dipanjangkan dan masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Sebenarnya kita pernah keluarkan lesen kepada satu syarikat, bukan lombong besi tetapi mangan yang tidak menggunakan air dan memohon (lesen) dipanjangkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sedang perhati laporan akhir itu dan membuat kajian, kalau tak ikut kepatuhan kepada peraturan maka Pejabar Tanah dan Galian (PTG) sudah semestinya akan bertindak,” katanya selepas majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan wujud aktiviti perlombongan haram berhampiran kawasan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang kini berdepan krisis jangkitan radang paru-paru.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan amat simpati dengan nasib yang menimpa penduduk Orang Asli tersebut dan melalui mesyuarat pada 10 Jun lalu telah mengarahkan agar kawasan itu ditutup kepada orang awam.

“Hanya pasukan keselamatan dan kesihatan sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan yang terkena jangkitan kuman pernafasan malah polis juga sudah mengisytihar ia kawasan merah.

“Maknanya untuk sebarang bantuan mesti dilakukan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan seberang kenyataan berhubung apa berlaku hanya dibenarkan kepada petugas keselamatan sahaja supaya tindakan seragam.

“Kita sedang lihat dengan penuh tanggungjawab bahawa mereka ini dibantu seoenuhnya, apa pun kita tunggulah keputusan kajian dibuat untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini