IPOH – Seorang lelaki warga India maut dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di sebuah kedai gunting rambut di Pekan Razaki di sini semalam.
Mangsa, M. Thambusamy, 56, yang dibawa oleh rakannya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan kecemasan bagaimana pun meninggal dunia pada pukul 2.35 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazuki Mat berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian yang merupakan sebuah kedai gunting rambut itu mendapati terdapat 15 tompokan darah dan kesan darah yang telah dilap di lantai, dinding dan sofa.
Katanya, darah juga ditemukan di tempat tidur suspek di bahagian belakang kedai berkenaan.
“Kedai tersebut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak beroperasi kerana mengalami kerosakan. Pihak polis telah mengambil CCTV itu untuk siasatan lanjut.
“Selain itu beberapa barangan termasuk sehelai baju dan sepasang kasut yang dipercayai milik suspek turut dirampas untuk siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.
“Kita sedang menyiasat motif kejadian dan siasatan kes ini dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Ketiga-tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











