KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Pakistan telah ditahan untuk membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan yang dikatakan dicabul di Pangsapuri Pantai Indah, Pantai Dalam di sini pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, suspek yang berusia 25 tahun itu telah diberkas oleh orang ramai dan kemudiannya diserahkan kepada polis.
“Insiden tersebut dipercayai berlaku di pangsapuri yang sama kira-kira pukul 6 petang dan mangsa berusia lapan tahun.
“Siasatan selanjutnya dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, satu video berdurasi tiga minit dan 19 saat telah tular di laman media sosial Facebook memaparkan beberapa individu iaitu penduduk sekitar menahan seorang lelaki warganegara asing yang didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan di pangsapuri berkenaan. – K! ONLINE










