LIPIS – Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah bernilai RM900 dalam serbuan di sebuah pondok di dalam kebun getah di Kampung Mela di sini, semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, serbuan dalam Op Sarang kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.
“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar, polis menjumpai beg galas berzip warna kelabu di atas tanah tempat suspek ditahan yang di dalamnya terdapat tiga ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah ganja seberat 235.72 gram. Polis turut menemukan bekas berisi dua peket plastik lutsinar berisi ketulan warna putih yang disyaki dadah jenis heroin seberat 8.26 gram,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A(2) ADB 1952 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, hasil siasatan awal suspek yang berusia 52 tahun mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan diperoleh di kawasan Mela di sini. – UTUSAN ONLINE










