KOTA BHARU – Sebanyak 15 penduduk Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan dan radang paru-paru atau Pneumonia sejak 2 Mei sehingga kelmarin.
Bagaimanapun hanya tiga disahkan mati akibat jangkitan tersebut berdasarkan bedah siasat manakala selebihnya telah dikebumikan di sempadan hutan sempadan Kelantan-Pahang.
Kematian terbaharu dikatakan melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pagi ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, tiada komunikasi di antara penduduk di dalam hutan dengan penghulu dan polis disebabkan kerana jarak perjalanan penempatan yang jauh di dalam hutan menyebabkan kematian 12 penduduk Orang Asli sejak 2 Mei lalu tidak diketahui.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut juga seramai 82 orang disahkan dijangkiti radang paru-paru termasuk seorang wanita berusia 36 tahun dan dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK).
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 37 orang dirawat sebagai pesakit luar manakala 32 orang dirawat di Hospital Gua Musang (HGM); 10 orang di HKK dan tiga lagi di Rumah Inap Kesihatan Asli (RIKA).
“Punca sebenar kes ini masih belum diketahui dan siasatan menyuluruh sedang dijalankan dan tidak boleh buat spekulasi, punca kematian akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung kejadian tersebut di Cawangan Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin.
Waytha Moorthy berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menangani masalah ini termasuk menjalankan siasatan secara mendalam.
“Pasukan ini merangkumi pakar dan kakitangan jabatan kesihatan, polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi berkaitan.
“Penyakit ini boleh berjangkit. Jabatan Kesihatan menasihatkan mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan kepada 186 orang penduduk Orang Asli suku kaum Batek ini supaya melalui Jakoa bagi mengelakan insiden yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











