KUALA LUMPUR 12 Jun – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM44 bilion telah menarik lebih 1,000 syarikat pembinaan Malaysia di seluruh negara untuk mendapatkan sebahagian daripada 40 peratus kerja-kerja sivil berikutan tamatnya program pendaftaran Pra-Kelayakan (Pra-Q) untuk mengenal pasti subkontraktor berpotensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sepanjang tempoh program Pra-Q pada 29 dan 30 Mei lalu, sebanyak 1,321 penyertaan diterima oleh kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) daripada syarikat-syarikat berdaftar CIDB.
“Syarikat pembinaan gred G7 CIDB mendahului gred-gred lain dengan penyertaan sebanyak 859 syarikat atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran, diikuti kategori Gred G5 dengan 134 penyerahan dan kategori Gred G4 dengan 132 penyerahan manakala baki daripada Gred G3 dan Gred G6 dengan 104 penyerahan dan 92 penyerahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











