ALOR SETAR – Mula berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam sekitar daerah ini dan Jitra pada 1993, siapa sangka jenama Ketupat Hutan Kampung keluaran Che Non Ahmad, 49, dan suaminya, Tarmizi Yaacob, 57, kini menjadi sebutan ramai.
Mana tidaknya, bagi sambutan Hari raya Aidilfitri tahun ini sahaja, mereka perlu menyediakan kira-kira 7,200 kilogram (kg) ketupat palas sejuk beku yang ditempah pelanggan untuk dijadikan juadah wajib pada 1 Syawal.
Che Non berkata, permintaan ketupat keluarannya meningkat sekali ganda berbanding di luar musim perayaan, apatah lagi produk sejuk beku tersebut mampu bertahan sehingga setahun jika disimpan dengan cara yang betul.
Ujarnya, terdapat empat jenis ketupat dihasilkan mereka ketika ini iaitu ketupat palas biasa, jagung, pulut hitam dan ketupat palas kacang.
“Setiap kali musim perayaan termasuk Hari Raya Aidiladha, kami terpaksa menambah bilangan pekerja berbanding 10 orang untuk memastikan setiap tempahan pelanggan dapat disiapkan mengikut permintaan.
“Produk kami kini sudah menjengah hampir seluruh negara sehingga ke Johor dan ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur dan Melaka yang turun sendiri ke sini untuk mengambil tempahan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar, Hutan Kampung di sini hari ini.

Mengimbau permulaan dia dan suami terjun ke perniagaan itu, Che Non berkata, mereka melalui pelbagai cabaran sepanjang 26 tahun ini termasuk terpaksa menyewa peti sejuk beku di kedai ais kerana ketiadaan peralatan itu.
Namun, kini mereka boleh berbangga apabila sudah memiliki sebuah kontena sejuk beku yang mampu menampung stok ketupat palas itu.
“Saya juga masih ingat diawal-awal perniagaan kami di pasar malam dahulu, paling tinggi pun hanya 10 kg ketupat palas dapat dijual berbanding kini yang perlu menyediakan kira-kira 120 kg beras sehari walaupun bukan musim perayaan.
“Tambahan pula, saya dapat membantu penduduk di sini dengan mengupah mereka untuk menyiapkan tugas masing-masing seperti memasak pulut, menganyam ketupat, merebus jagung sehinggalah ke proses pembungkusan ketupat,” ujarnya.
Selain menjual keempat-empat jenis ketupat itu masing-masing pada harga RM22 setiap kg, Che Non turut menjual serunding dan rendang daging untuk dilengkapkan dengan menu ketupat itu. -UTUSAN ONLINE











