Kerjasama Sunway Lagoon, Garuda - Utusan Malaysia

Kerjasama Sunway Lagoon, Garuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sunway Lagoon Sdn. Bhd. (Sunway Lagoon) menyasarkan perolehan sebanyak RM180 juta untuk tahun 2019, peningkatan sebanyak RM40 juta berbanding RM140 juta yang dicapai tahun lalu.

Pengurus Besar Kanan Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, lebih daripada 60 peratus daripada perolehannya diperoleh menerusi penjualan tiket manakala selebihnya disumbangkan jualan runcit serta makanan dan mi­numan.

Jelasnya, syarikat menyasarkan seramai 1.5 juta pengunjung Sunway Lagoon tahun ini berbanding hampir 1.4 juta pengunjung pada 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia disokong daripada pelbagai aktiviti promosi dan kerjasama dengan pemain dalam industri pelancongan termasuk syarikat penerbangan.

“Bagi suku tahun pertama ini, kami mencatatkan kehadiran pe­ngunjung yang baik. Bagaimanapun pada suku kedua jumlah pe­ngunjung sedikit tersasar, sekitar 20 peratus lebih sedikit berban­ding jangkaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sunway Lagoon dan Garuda Indonesia di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Garuda Indonesia di Malaysia, Fredrik Kasiepo.

Menerusi kerjasama berkenaan, setiap penumpang Garuda Indonesia ke negara ini ditawarkan diskaun 20 peratus untuk tiket masuk ke Sunway Lagoon. Penawaran tersebut adalah sehingga Disember tahun depan.

Mereka hanya perlu menunjukkan pas penerbangan atau kad GarudaMiles di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari selepas ketibaan di negara ini.

Menurut Calvin, ketika ini 50 peratus daripada pengunjung Sunway Lagoon adalah warga ­asing dengan rakyat India merekodkan kehadiran paling ramai diikuti pelancong dari Asia Barat dan China.

“Bagaimanapun kami melihat peningkatan kehadiran pelancong dari Indonesia antara 20 hingga 30 peratus baru-baru ini. Kerjasama terbaharu ini diharapkan mampu melonjakkan kehadiran mereka kira-kira 15 peratus lagi.

“Kami juga sedang mempersiapkan tarikan terbaharu di Sunway Lagoon yang bakal menelan belanja sekitar RM100 juta dan dijangka dibuka kepada umum tahun hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini