JEMPOL – Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Karip Mohd. Salleh menafikan dia adalah pemilik kerbau yang menjadi punca kematian dua penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Utama Serting Hilir di sini Jumaat lalu.
Katanya, dia kesal dengan dakwaan sebuah pemilik akaun Facebook yang menfitnahnya sebagai pemilik haiwan tersebut dalam satu status yang dimuat naik pada Sabtu lalu.

Ketua PKR Cabang Jempol dan Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan itu berkata, dia terbaca dakwaan itu dalam media sosial yang secara terang-terangan menulis namanya sebagai pemilik kerbau itu.
Menurutnya, bagi membersihkan namanya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam pada pukul 10.51 pagi hari ini .
“Dakwaan itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkenaan tidak boleh sesuka hati membuat tuduhan melulu tanpa bukti. Ini boleh menjejaskan nama baik saya sebagai ketua peneroka di negeri ini.
“Memang saya ada bela kerbau tetapi kerbau yang dalam terlibat dalam kejadian itu bukan milik saya,” ujarnya di sini hari ini.
Dalam kejadian tengah malam Jumaat lalu, dua pekerja kilang, Muhammad Fakhri Fazim dan Faqih Sarian Abdul Malik maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh seekor kerbau yang berada di laluan mereka di Jalan Utama Serting Hilir.
Mengulas lanjut, Karip berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis dan peguam untuk mengambil tindakan lanjut terhadap fitnah yang dibuat terhadapnya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superitenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat Karip hari ini. – UTUSAN ONLINE











