Keputusan representasi Mohd. Hafarizam bulan depan - Utusan Malaysia

Keputusan representasi Mohd. Hafarizam bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Hafarizam yang juga seorang peguam menghantar surat representasi tersebut pada 5 Mei lalu bagi membolehkan pertuduhan yang dihadapinya itu diteliti dan dikaji semula.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima keputusan representasi daripada Peguam Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 21 Februari lalu, Mohd. Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam “client account” firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd. Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam “Client Account” firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini