PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengkaji beberapa model penyatuan tanah dan model itu dijangka diumumkan pada hujung tahun ini.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, model yang dipilih nanti harus mengambil kira kepentingan tuan tanah, pesawah, pelabur dan kerajaan.
Beliau berkata, penyatuan tanah itu akan diterajui oleh sebuah agensi di bawah kementeriannya.
Jelasnya, antara model yang berjaya ialah Estet Padi oleh Felcra Berhad dan pihaknya akan melihat pelbagai model lain termasuk penyertaan anak-anak muda dalam sektor pertanian secara lebih serius.
“Tanpa perubahan beberapa dasar, penyatuan tanah dan pemodenan sektor padi ini tidak akan boleh dicapai,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Hari Raya Aidilfitri 2019 peringkat kementeriannya di sini hari ini.
Menurut Salahuddin, beberapa dasar perlu diubah antaranya, mereka yang mengusahakan tanah sawah lebih 10 hektar berhak mendapat subsidi dan pesawah diberi kebebasan untuk memilih input pertanian.
Dasar lain ialah peralihan daripada subsidi berasaskan input kepada subsidi berasaskan output, harga siling beras tempatan dihapuskan dan harga siling beras putih import ditetapkan serta sistem kuota pengekuaran benih padi sah diubah dan digantikan dengan sistem pasaran terbuka.
“Kita sedang bekerja keras dan setiap agensi terlibat kena lihat secara komprehensif, masalah ini (kemiskinan petani) tidak boleh diselesaikan secara runcit tetapi secara holistik. Penglibatan semua pihak perlu untuk menjayakan industri padi negara, “ katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Majlis Tindakan Negara Bil. 3/2019, menyatakan komitmen kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah melalui pelaksanaan pertanian moden, sekali gus mengatasi masalah kemiskinan membabitkan golongan berkenaan.
Menurut Salahuddin, pemodenan penanaman padi hanya mampu direalisasikan melalui pertanian berskala besar.
“Justeru itu, penyatuan tanah harus dilakukan. Penyatuan tanah juga diperlukan agar pesawah dapat mencapai ‘economies of scale’,” katanya. – UTUSAN ONLINE










