Kemelut semasa mewajarkan PRU diadakan lebih awal - Utusan Malaysia

Kemelut semasa mewajarkan PRU diadakan lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTUSAN: Pas telah memuktamadkan kerjasama dengan UMNO dalam muktamar parti itu baru-baru ini, apa komen Datuk?

 Fathul Bari Mat Jahya

FATHUL BARI: Apabila kita melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan bergolak, (termasuk) krisis dalaman parti dan antara parti, ia menyebabkan rakyat gelisah dan inginkan sesuatu dilakukan dalam negara kita. Berapa ba­nyak manifesto (PH) tidak ditunaikan sehingga menyebabkan rakyat tertipu atas apa yang dijanjikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jus­teru, antara pilihan terbaik me­ngatasi perkara ini tentunya adalah kerjasama Pas-UMNO, yang sekali gus memberi nafas baharu dalam politik tanah air. Kedua-dua parti yang berkrisis selama puluhan tahun lamanya, bertaut kembali dengan hala tuju lebih luas dalam soal penyatuan ummah.

Bagaimana dengan tindakan SPRM melucutkan hak wang disyaki daripada 1MDB terhadap 41 individu atau entiti?

Ada nama yang ada dan ada nama yang tak ada. Sebab itu, saya melihat tindakan SPRM itu sangat selektif. Sama seper­ti disebut Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir) bahawa beliau tidak tahu dari mana sumber wang tersebut (diterima UMNO Kedah semasa Mukhriz menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhu­bu­ngan UMNO Kedah). Begitu juga orang lain pun tidak tahu. Siapa kita hendak mempersoalkan pemberian wang daripada Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Tun Razak). Jadi sangat tidak adil untuk meng­hukum 41 orang (atau entiti) ini, melainkan mereka tahu bahawa wang diterima adalah daripada 1MDB.

Bagaimana Datuk melihat perkembangan isu Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim?

Kita tidak mahu isu ini menjadi perkauman, kita mahukan keadilan kepada Adib dan kita tidak mahu tindakan yang diambil (kerajaan) untuk mem­bela pihak-pihak tertentu. Ini bukan soal UMNO-Pas dengan kerajaan PH. Ini soal tindakan tegas yang perlu diambil terhadap orang yang melakukan kesalahan tersebut. Sebab itu kita tidak mahu campur tangan politik.

Isu peralihan kuasa antara Tun Dr.Mahatir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbangkit semula, apa pendapat Datuk?

Saya nampak tidak ada ke­sepakatan antara komponen PH. Dr. Mahathir maklumkan tidak ada perbincangan mengenai ketetapan tarikh bila Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Orang ramai pula mula bercakap bahawa Anwar akan terus menjadi bakal Perdana Menteri. Dr. Mahathir kata hendak tunai janji, cuma dia tidak tetapkan masa yang jelas. Kita juga tidak pasti siapa yang benar, siapa yang tidak benar.

Bagaimana Datuk melihat penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet?

Kita tidak perlu terlibat untuk menyebarkannya sebab ini melibatkan soal keaiban orang. Cuma kita menggesa supaya diambil tindakan segera oleh kerajaan untuk menyiasat kes penyebar dan pelakunya. Benar atau tidak, Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Satu lagi, tolong jangan libatkan UMNO kerana ia adalah masalah dalaman mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini