Keluarga mangsa keldai dadah di Taiwan mengharap anak pulang - Utusan Malaysia

Keluarga mangsa keldai dadah di Taiwan mengharap anak pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN – Kering sudah air mata dan doa yang sentiasa dipanjatkan selepas solat, namun sehingga kini tiada sebarang khabar gembira untuk Omar Yuhyi, 65, Hadiah Gondet, 59, menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Kedua-duanya merupakan ibu bapa kepada Sheikh Faizan, 31, mangsa keldai dadah yang dipenjara seumur hidup di Taiwan sejak 2007 yang terus mengharap anak mereka dibebaskan.

Ketika kunjungan ke rumah Sheikh Faeizan atau Pak Tam di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas di sini hari ini, mereka semakin uzur terutama Omar Yuhyi sudah tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan sejak ditimpa penyakit .

Memuatkan artikel berkaitan…

Hadiah pula menghidapi penyakit saraf menyebabkannya terlantar atas katil dan tidak mampu untuk bergerak dan memerlukan bantuan orang lain terutama Omar dan anak-anak.

“Kami semakin uzur dan menghidapi pelbagai penyakit, bimbang sekiranya kami dijemput Ilahi, Pak Tam tidak dapat melihat jenazah seorang daripada kami,” katanya ketika ditemui dalam nada penuh sebak.

OMAR YUHYI
OMAR YUHYI dan Hadiah Gondet menatap wajah Pak Tam yang menjalani penjara seumur hidup di Taiwan sejak 2007 kerana kesalahan menjadi keldai dadah di rumahnya di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, Pontian, Johor hari ini. – UTUSAN ONLINE

Mengimbas kembali episod hitam pada 24 Mac 2007, Pak Tam yang ketika itu berusia 19 tahun ditahan di Taipei kerana dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal.

Anak kelima dari tujuh beradik itu ditahan polis Taiwan kerana disyaki membawa heroin seberat 2.141 gram dalam sebuah beg miliknya ketika hendak berlepas pulang ke Malaysia.

Tambah Omar, dua minggu sebelum Ramadan lalu, Pak Tam ada menelefon emaknya untuk bertanya khabar keluarga di sini selama lima minit yang dibenarkan oleh pihak penjara.

“Kami pun tidak lagi nampak wajah dan susuk tubuh Pak Tam kerana pihak penjara tidak membenarkan penghantaran gambar walaupun dengan kaedah swafoto untuk tatapan keluarga,” ujarnya.

Katanya, Pak Tam masih berkerja menjahit langsir dengan bayaran gaji sebanyak 50 sen sehari yang digunakan untuk membeli barangan keperluan harian yang dibenarkan pihak penjara di sana.

Menurutnya, jika sebelum ini ada beberapa orang Islam termasuk dari Malaysia yang juga ditahan di Taiwan, namun mereka telah dibebaskan menyebabkan Pak Tam seorang diri di sana.

Keadaan tersebut ujar Omar, membimbangkannya sekeluarga mengenai status makananan diberikan kepada Pak Tam yang terpaksa diambil demi untuk meneruskan kehidupan di sebalik tirai besi.

“Soal akidah dan pegangan agama, kami sekeluarga tidak bimbang, Pak Tam mampu mempertahankannya tetapi soal makanan menjadi kebimbangan keluarga di sini,” ujar Omar lagi.

Katanya, tidak banyak cerita yang mampu dikongsi selama lima minit panggilan telefon yang dibenarkan pihak penjara tetapi sudah cukup mengubat kerinduan apabila mendengar suara Pak Tam.

Bagi pihak keluarga di sini, telah menyampaikan khabar gembira bahawa adik perempuan Pak Tam, Noramirah Zaharah sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada September depan.

Sementara itu, Hadiah menaruh harapan supaya kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) dapat membantu mengeluarkan anaknya setelah menjalani dipenjarakan 12 tahun lalu.

Katanya, tempoh tersebut cukup menyeksakannya sebagai seorang ibu menjelang tibanya Aidilfitri kerana Pak Tam tidak berpeluang bersama-sama keluarga serta mejamah makanan kegemarannya.

“Sebagai ibu yang melahirkan, perasaan rindu kepada Pak Tam tidak dapat diungkapkan lebih-lebih lagi ketika umat Islam akan meraikan sambutan Aidilfitri bersama sanak saudara dan sahabat-handai.

“Tiada lagi ketupat, sayur lodeh, lontong, rendang mahupun ayam masak kicap yang menjadi kegemaran Pak Tam selama beliau berada di penjara sejak tahun 2007 lalu,” ujarnya dengan nada sedih.

Jelasnya, sepertimana suaminya, Omar Yuhyi, dia juga berharap sebelum memjamkan mata akan dapat menatap wajah Pak Tam buat kali terakhir yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini