JOHANNESBURG – Biar pun tidak menjaringkan gol, kelibat bintang Liverpool di atas padang sudah cukup menggerunkan pasukan lawan dan ini terbukti ketika Mesir menewaskan Guinea 3-1 dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Negara Negara Afrika di sini awal hari ini.
Salah, 27, yang hanya diturunkan sebagai pemain gantian sahaja dibawa masuk pada minit ke-61 dan terus membantu Mesir memperoleh dua gol tidak lama selepas itu menerusi gerakan dan hantaran kemas kepada rakan sepasukannya.
Terdahulu Mesir lebih dulu membuka jaringan menerusi Marwan Mohsen pada minit ke-11 tetapi Guinea menyamakan kedudukan menerusi Sory Kaba pada minit ke-63, yakni selepas dua minit Salah dibawa masuk.
Namun begitu, Salah tidak menunggu lama untuk memimpin jentera serangan Mesir kembali mengganas dengan gol menerusi Ahmed Ali pada minit ke-77 dan Omar Gaber pada minit ke-86.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dicatat Mesir dalam aksi persahabatan mereka sebelum memulakan cabaran di Piala Negara Negara Afrika di laman sendiri yang dijadual membuka tirai Khamis ini.
Sebelum ini, mereka menewaskan Tanzania 1-0 tiga hari lalu di stadium yang sama.
Mesir diletakkan dalam Kumpulan A bersama Republik Demokratik Congo, Uganda dan Zimbabwe. – AFP











