KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyifatkan penyebaran video seks seorang lelaki dengan menteri kanan Kabinet sebagai pelakuan politik jijik dan memualkan.
Kecewa dengan perkembangan terbaharu politik tanah air itu, Mujahid turut menasihatkan supaya semua pihak terutamanya umat Islam berhenti menyebarkan video tersebut.
“Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, kita harus berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan serta merendahkan maruah kita dengan politik yang menjijikkan dan memualkan.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah masyakarat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat. Tindakan seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan kesucian Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Zakat Korporat di Bangi dekat sini hari ini.
Sementara itu, Mujahid turut mengesahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ada menerima laporan qazaf berkaitan penyebaran satu video lucah didakwa melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Pihak Jawi akan meneliti aduan tersebut mengikut bidang kuasa dan seksyen kesalahan berkaitan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.
“Saya juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sewajarnya terhadap laporan yang telah dibuat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










