TANGKAK 13 Jun – Sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi kesempatan terbaik untuk keluarga Allahyarham Parjan Shukur dan Rabikun Keromo untuk berkumpul di Kampung Parit Raja, Gerisek dekat sini baru-baru ini.
Lebih 700 ahli keluarga Parjan melibatkan lima generasi berusia dari setahun hingga hampir 90 tahun yang datang dari seluruh negara berkumpul dalam suasana meriah dan penuh kekeluargaan.
Program tahunan itu diadakan di kediaman anak sulung pasangan tersebut iaitu Ehwan, 85, dan isteri, Lastum Rabikun, 78, di samping diadakan bacaan tahlil dan doa selamat serta majlis suai kenal dalam kalangan ahli keluarga.
Menurut Pengurus Programnya, Zuzaizan Ehwan, 53, aktiviti tersebut menjadi platform untuk generasi baharu dan lama berkenalan selain mengeratkan silaturahim antara mereka kerana masing-masing tinggal berjauhan.
Beliau yang merupakan cucu daripada generasi kedua Parjan berkata, walaupun mereka bersaudara ada dalam kalangan mereka tidak pernah bertemu dan kesempatan serta peluang itu digunakan sebaik-baiknya untuk merapat serta memulakan hubungan.
“Program seperti ini sudah semestinya dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan. Uniknya pada tahun ini majlis juga disertai waris daripada sebelah emak saya iaitu Allahyarham Rabikun. Turut serta anak Allahyarham yang lain hadir seperti Marfuah Rabikun, 85.
“Inilah kali pertama kami menghimpunkan dua waris dalam satu majlis yang pastinya amat meriah dan tujuan mengeratkan silaturahim keluraga tercapai. Diharap semuaanya berjumpa lagi pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










