KUALA LUMPUR – UMNO hari ini menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan, 73, yang meninggal dunia tengah malam tadi dan menyifatkan satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
Memetik portal UMNO Online, Allahyarham sebelum ini merupakan Presiden Kelab UMNO Artis Tanahair (KUAT) selain seorang yang banyak menghiasi dunia seni tanah air dan banyak berjasa dalam industri berkenaan kepada negara.
“Perjuangannya dalam industri seni tidak akan dilupakan dan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan yang amat dirasai,” ujarnya seperti dilaporkan portal tersebut.
Allahyarham A. Rahman menghembuskan nafas terakhir pada 12.40 tengah malam tadi di Hospital Ampang di sini, akibat komplikasi paru-paru berair.
Allahyarham merupakan ikon ‘Pop Yeh Yeh’ di era 60-an, dan terkenal dengan lagu ‘Tak Mengapa’ bersama Orkes Nirwana, telah mencorakkan suasana muzik dan seni lagu zaman tersebut bersama tokoh seni lain seperti M. Osman, Datuk Jeffrydin serta ramai lagi. – UTUSAN ONLINE










