ARAU – Pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempertahankan Dr. Zakir Naik serta memberi jaminan menjaga keselamatan pendakwah terkenal itu membuktikan Perdana Menteri tidak sesekali tunduk kepada kehendak kezaliman dan penindasan di India.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Dr. Mahathir serta kerajaan yang berpendirian cukup tegas dalam isu ini.
Kata anak murid Zakir itu, pendakwah tersebut telah menjadi mangsa fitnah dan tohmahan beberapa pihak yang sengaja mahu membuat provokasi agama dan perkauman.
“Pendirian tegas ini selari dengan Perlembagaan negara yang telah meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, maka secara tidak langsung, pendirian ini membuktikan bahawa agama Islam akan terus terpelihara.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, sewajarnya kita semua menyokong penuh serta menghormati pendirian tegas Dr. Mahathir ini,” katanya di sini hari ini.
Dr. Mahathir dalam satu program di Melaka, baru-baru ini dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir sekiranya beliau tidak akan diberikan keadilan sewajarnya.
Perdana Menteri menegaskan situasi tersebut sama seperti tindakan kerajaan Australia sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati mandatori pada 2015 atas tuduhan membunuh seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Tambah Muhammad Zamri, kerajaan India mendakwa kononnya Zakir terlibat dengan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram, namun tuduhan tersebut dilihat tidak berasas dan sehingga kini mereka masih gagal membuktikan kesalahan terbabit.
Beliau juga percaya, sekiranya Zakir diekstradisi ke India, pendakwah tersebut tidak akan mendapat hak dan layanan yang adil daripada negara itu.
“Dengan pendirian tegas Perdana Menteri, kami yakin proses ekstradisi Zakir yang dimohon oleh kerajaan India tidak akan berjaya dan kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar berdiri teguh di belakang Dr. Mahathir dalam isu ini.
“Kita mesti menyokong segala usaha untuk mengekang sebarang provokasi berniat jahat seterusnya berdiri teguh menolak sebarang kezaliman dan penindasan terhadap mereka yang tidak bersalah,” katanya.- UTUSAN ONLINE










