KUALA LUMPUR – “Tiap-tiap hari saya ada sidang akhbar.”
Demikian komen Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook ketika ditanya bila kenyataan akan dibuat berhubung isu kadar kegagalan lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) yang sangat tinggi dalam kalangan pemandu yang memohon.
“Saya akan menjawab soalan itu (PSV) pada hari yang lain.
“Hari ini, kita hanya fokuskan pada isu ‘cashless system’,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penggunaan Sistem Tanpa Tunai yang dianjurkan oleh KLIA Express di KL Sentral di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali ‘keliru’ apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.
Menurutnya, GDMA tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV berkenaan namun secara kasarnya beliau mendakwa 10 hingga 50 peratus saja pemandu yang lulus dalam setiap kelas. – K! ONLINE











