BAITULMUQADDIS 27 Jun – Menteri Luar Bahrain, Khalid bin Ahmed Al-Khalifa mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Israel adalah sebahagian daripada warisan rantau Asia Barat dan etnik Yahudi mempunyai tempat dalam kalangan penduduk Arab.
Beliau membuat kenyataan itu dalam wawancara yang disiarkan dalam stesen televisyen Israel, Channel 13, semalam.
Khalid berkata, ini merupakan pertama kali beliau ditemubual media Israel dan berharap mesej itu akan diterima.
“Dari segi sejarah, Israel adalah sebahagian daripada warisan seluruh rantau ini, jadi etnik Yahudi mempunyai tempat dalam kalangan kami.
“Disebabkan itu persidangan ini agak penting dan kami tidak mahu terlepas peluang ini dan saya mahu memaklumkan kepada mereka bahawa kita patut berbincang,” kata Khalid.
Perkembangan itu berlaku, ketika persidangan ekonomi anjuran Amerika Syarikat (AS) di Bahrain yang bertujuan memulakan pelan damai Asia Barat Rumah Putih.
Dalam perkembangan berkaitan, ‘perjanjian abad ini’ yang diusulkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan diketuai penasihat kanannya, Jared Kushner dilihat tidak mendapat sambutan di Bahrain.
The Guardian melaporkan, pelan tersebut yang sepatutnya menawarkan jalan penyelesaian terhadap konflik Israel dan Palestin tidak mencapai visi serta misinya.
Di Gaza, boleh dikatakan keseluruhan penduduknya menolak pelan tersebut, malah di Israel, media tempatan tidak memberikan liputan secara besar-besaran selain tidak membuat sebarang analisis berhubung pelan tersebut.
Pelan yang mengandungi rancangan untuk memohon sumbangan dana sebanyak AS$50 bilion (RM207.5 bilion) bagi membantu meningkatkan pembangunan ekonomi penduduk Palestin itu tidak mendapat sokongan menyeluruh dari Jordan, Mesir dan Lebanon.
Malah, usaha untuk membangunkan dan mempelbagaikan sektor ekonomi di seluruh Palestin disifatkan sebagai ‘berlebihan’ dengan ketiadaan campur tangan politik yang boleh menjadikan janji itu sebagai realiti.
Kushner tiba di Manama dengan harapan beliau boleh mempengaruhi pandangan pelbagai negara mengenai usaha dan tindakan AS untuk membantu penduduk Palestin keluar daripada kepompong kemiskinan.
Beliau juga tidak segan untuk menggambarkan dirinya sebagai seorang individu yang berani mengambil langkah baharu, selain menyifatkan rundingan damai Asia Barat yang dipersetujui sejak 17 tahun lalu di bawah pemerintahan bekas Raja Arab Saudi, Raja Abdullah tidak lagi ‘masuk akal’.
Pengerusi Rangkaian Perniagaan Masyarakat Palestin, Ashraf Jabari berkata, apa yang diingini oleh penduduk Palestin ketika ini adalah kebebasan dari cengkaman rejim Zionis, namun butiran pelan yang diusulkan oleh AS tiada satu pun yang menyentuh perkara tersebut. – AGENSI










