KAJANG – Polis sedang memburu individu yang dipercayai menyimbah cat terhadap sepasang kekasih berhampiran sebuah hospital di Bandar Sungai Long, di sini hari ini.
Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengesahkan menerima laporan tersebut dan akan menjalankan siasatan bagi menahan suspek.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzafir Mohd. Yussof berkata, kejadian berlaku pada pukul 2 petang di belakang sebuah hospital di Bandar Sungai Long.
“Mangsa bersama teman wanitanya sedang berjalan kaki kemudian secara tiba-tiba dilempar pasir dan cat berwarna merah oleh suspek.
“Menurut pengadu, suspek merupakan seorang lelaki warga asing yang berkulit gelap memakai topi keledar berwarna hitam dan menunggang motosikal,” katanya dalam kenytaan di sini hari ini.
Tambah Dzafir, mangsa yang berada dalam keadaan terkejut kemudian dimarahi suspek dalam bahasa asing dan terus melarikan diri.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan dan khianat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kajang atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Hafizah di talian 016-6060 955,” ujarnya.
Terdahulu, gambar pasangan terbabit yang juga penuntut sebuah universiti tempatan dalam keadaan badan dipenuhi cat berwarna merah tular di media sosial.
Turut dimuat naik bersama gambar mereka adalah tong cat yang digunakan suspek dalam kejadian itu. – K! ONLINE










