SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut manakala anak perempuannya cedera dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Che Bema, Jalan Lencong Barat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Azura Abu Kadim, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Anaknya, Qashiqa Sofea Fadillee, 8, pula yang cedera di bahagian rusuk dan kepala kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Ketika kejadian, Azura dalam perjalanan menghantar Qashiqa Sofea ke sekolahnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Layar Hujung.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku ketika dua beranak itu yang menaiki sebuah motosikal dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba.
“Pada masa sama, kereta dipandu seorang lelaki dari arah Sungai Layar menuju ke arah Bandar Laguna Merbok tiba di tempat kejadian dan berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan itu.
“Mangsa dan anaknya tercampak ke lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adzli berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jenazah Azura yang bekerja di sebuah syarikat swasta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Majidi Sungai Layar di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










