JAKARTA 27 Jun – Seorang bayi di Indonesia dianugerahkan gelaran nama terpelik di dunia selepas ibu bapanya secara rasmi mendaftarkan anak mereka sebagai ‘Google’ sama seperti syarikat enjin carian terkemuka itu.
Lapor Oddity Central, bapa kepada bayi lelaki berusia lapan bulan tersebut, Andi Cahya Saputra, 31, berkata, idea untuk memberikan anaknya nama Google timbul ketika isterinya hamil tujuh bulan.
Katanya, sebelum itu dia mempertimbangkan memberi nama biasa seperti Albar Dirgantara Putra atau nama dalam al-Quran sebelum memutuskan seperti ada perkara yang tidak kena.
Justeru Andi memutuskan untuk mencari nama daripada produk dan syarikat teknologi seperti Windows, iPhone, Microsoft dan iOS sebelum memilih Google.
Meskipun isteri Andi tidak menyukai idea menamakan anaknya Google namun wanita itu akhirnya bersetuju menamakan zuriatnya bersempena enjin carian internet paling popular tersebut.
Media tempatan di wilayah Jawa Barat melaporkan ibu bayi, Ella Karin, 27, terlalu malu untuk mendedahkan nama anaknya kepada masyarakat selama tiga bulan dan hanya memanggil anaknya ‘bayi lelaki’.
Ella berkata, dia berharap anaknya nanti akan menjadi pemimpin kepada ramai orang.
Ketika ditanya mengapa tidak meletakkan nama kedua atau nama keluarga, Andi menjawab, dia tidak mahu ‘melemahkan’ nama istimewa anaknya. – AGENSI










