ARAU – Lelaki yang disyaki membakar rumah tiga beradik buta di Kampung Titi Besi di sini semalam dikatakan sempat mengugut emak saudaranya itu sebelum bertindak demikian.
Difahamkan lelaki berusia 28 tahun itu bertindak demikian selepas berang apabila warga emas tersebut tidak memberi kesemua duit hasil jualan kelapa bernilai RM45 kepadanya sebelum itu.
Abang kepada lelaki tersebut, Ahmad Rizuan Kassim,31, berkata, adiknya itu sememangnya tinggal dengan emak saudaranya itu sejak kecil dan dijaga dengan penuh kasih sayang.
Katanya, dia terkilan selain sedih apabila adiknya itu tergamak membakar rumah pusaka tersebut hanya kerana tidak diberikan wang yang dipercayai untuk digunakan membeli gam.
Ujarnya, sememangnya adiknya itu mempunyai masalah ketagihan menghidu gam dan pernah beberapa kali ditangkap polis.

“Sebelum itu, emak saudara saya itu menjual kelapa dan memperolehi RM45. Dia (lelaki tersebut) meminta kesemua duit itu, namun emak saudara saya hanya memberi RM10.
“Berang apabila tidak diberikan wang, Dia sempat memberi amaran dengan berkata ‘hang jaga’ kepada emak saudaranya itu. Selepas kebakaran itu, adiknya didapati melarikan diri.
“Selama ini, emak saudara saya itu cukup sayang dan memanjakan adik saya itu selain memenuhi segala kemahuannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan jeritan meminta tolong tiga beradik buta yang terperangkap di dalam kediaman mereka yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa warga emas itu dalam kejadian tersebut.
Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa segera membantu membawa keluar warga emas terbabit ketika api sedang marak dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang.
Berikutan kejadian itu, mangsa, Halijah Ibrahim, 78, Che Manai, 73, dan Zainah, 67, tinggal sehelai sepinggang selain kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai, barangan kemas serta pelbagai barangan berharga lain termasuk kelengkapan serta baju raya mereka musnah dalam kebakaran tersebut.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan lelaki tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.- UTUSAN ONLINE











