KUALA LUMPUR- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan selepas dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang tugas polis ketika disiasat berhubung video seks berkaitan seorang menteri hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Lokman, 46, ditahan bersama N.Gobalakrishnan di rumahnya di Kajang Hillpark dekat sini, malam tadi.
Menurut beliau, Lokman ditahan kerana menghalang tugas sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Pasukan Forensik yang sedang menjalankan siasatan bersabit kes Seksyen 504 Kanun Keseksaan di rumahnya di Kajang Hillpark dekat sini.
“Kira-kira pukul 6.45 petang tadi, polis mengarahkan Lokman menyerahkan telefon bimbit untuk diperiksa namun enggan memberikan kerjasama serta memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.
“Ketika itu, terdapat seorang lelaki berusia 59 tahun yang turut mengherdik serta melakukan provakasi lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadzil berkata, kedua-dua individu kini dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Lokman hari ini memuat naik status di laman Facebook ya mengesahkan telah memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung isu yang sama.
Dalam status itu, Lokman mendakwa telah membuat laporan polis hari ini berkenaan isu video lucah dan perlu memberi keterangan kepada pegawai dari USJT.
“Mereka nak rampas kedua-dua telefon bimbit saya dan geladah rumah saya. Betul-betul Law of The Jungle,” katanya.- UTUSAN ONLINE










