MACHANG – Padah buat seorang penjawat awam yang membuat laporan polis palsu kononnya dia diragut oleh empat lelaki bermotosikal yang melarikan barangan kemas serta wang tunai di jalan Kampung Hutan Rebana di sini 9 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, ekoran daripada itu pemuda berusia 32 tahun itu telah dituduh dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan palsu.
“Lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dan tarikh sebutan semula pada 18 Ogos ini.
“Di sini saya memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang laporan palsu kerana ia akan memudaratkan diri sendiri,” katanya di sini hari ini.
Ganti berkata, lelaki tersebut dikatakan telah membuat laporan polis pada hari yang sama dan mendakwa peragut melarikan beg sandangnya yang berisi dua utas rantai milik ibu mentuanya serta wang tunai berjumlah RM400.
Beliau berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan kemudian mendapati terdapat keraguan dalam keterangan yang diberi.
Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa didatangi dua motosikal yang ditunggangi empat lelaki sebelum mereka menghimpit dan menarik beg sandangnya.
“Difahamkan sebelum kejadian, ibu mentuanya telah menyerahkan RM1,100 kepada suspek untuk menebus barang kemas miliknya di Kedai Pajak Gadai Tong Lii.
“Walau bagaimanapun, semakan di kedai pajak berkenaan mendapati lelaki itu tidak datang ke kedai pajak gadai pada hari tersebut,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan telah membuat satu laporan palsu.
“Kejadian ragut tersebut telah direka oleh lelaki itu kerana telah menggunakan RM300 daripada wang yang diberikan oleh ibu mentuanya.
“Lelaki berkenaan mengaku terpaksa membuat laporan tersebut kerana barang kemas ibu mentuanya sudah dilebur kerana sudah melebihi tarikh gadaian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











