Gesa ambil tindakan terhadap dakwaan penyelewengan di Mimos - Utusan Malaysia

Gesa ambil tindakan terhadap dakwaan penyelewengan di Mimos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri digesa mengambil tindakan segera terhadap dakwaan wujudnya penyelewengan dalam Mimos Bhd. (Mimos).

Setiausaha Agung Parti Negara, Abdul Ghani Haroon berkata, pihaknya memandang serius pemecatan empat pegawai tertinggi Mimos termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya pada April lalu kononnya telah menyalah guna kuasa dengan memberi taklimat teknologi bagi pusat penyelidikan dan pembangunan negara itu dalam dua persidangan antarabangsa yang diadakan di negara ini.

Tegas beliau, berdasarkan maklumat diterima parti itu, kemelut tersebut bermula apabila wujud usaha untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan membabitkan dana perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan berjumlah kira-kira RM400 juta sejak tahun 2008.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, didakwa dana tersebut telah disalah guna untuk membiayai aktiviti perniagaan termasuk membayar gaji mereka yang terlibat dalam aktiviti perniagaan itu di luar ruang lingkup pembiayaan sebenar dikhususkan untuk Mimos melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi bagi menghasilkan peluang perniagaan baharu kepada teknorat di negara ini.

“Walaupun dana penyelidikan telah digunakan untuk membiayai aktiviti perniagaan ini, difahamkan kebanyakan aktiviti itu tidak memberikan pulangan setimpal malah mengalami kerugian termasuk kelewatan penyiapan projek dan kecacatan penghantaran. Kami juga menerima banyak maklumat mengenai pemberian tender berjumlah hampir RM100 juta membabitkan syarikat tertentu sahaja dalam proses yang amat mencurigakan.

“Adalah amat malang sekiranya pegawai yang jujur dan tidak berkepentingan mahu melakukan perubahan menjadi mangsa kepada kelompok perasuah dan penyeleweng yang telah menyalahgunakan harta negara (melalui peruntukan Rancangan Malaysia). Lebih malang ia berlaku dalam pemerintahan yang berdiri atas cita-cita perubahan untuk membersih dan memperkasa ketelusan itu sendiri.

“Justeru, kami menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengambil tindakan segera terhadap Mimos untuk memastikan setiap penyelewengan terhadap wang negara ini disiasat dengan teliti dan telus manakala setiap individu yang bertanggungjawab wajib dibawa ke muka pengadilan serta dihukum sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Abdul Ghani, Penaja juga menggesa kementerian bertindak mengambil alih pengawasan pengurusan tertinggi Mimos dengan kadar segera kerana dipercayai wujudnya komplot peringkat tertinggi di pusat penyelidikan dan pembangunan negara itu sendiri yang mahu menutup pekung penyelewengan itu dan membiarkan mereka terus berkuasa di Mimos.

“Ini akan mengakibatkan maklumat-maklumat penyelewengan dihapuskan dan dimanipulasi untuk kepentingan mereka yang rasuah dan menyeleweng,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini