MANILA – Filipina mengutuk ‘tindakan pengecut’ kapal dipercayai nelayan China yang didakwa meninggalkan kru nelayan warganya selepas berlanggar di Laut China Selatan, hari ini.
Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, kapal warganya yang sedang berlabuh berdekatan Tebing Reed yang dituntut Manila dan Beijing karam dan 22 kru mengharapkan bantuan.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengecut kapal dipercayai nelayan China dan kru yang meninggalkan kru Filipina yang dilanggar.
“Tindakan itu tidak dijangka daripada orang yang mesra dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, beliau meminta siasatan dibuat terhadap perlanggaran itu dan ‘langkah diplomatik’ diambil bagi mencegah daripada insiden sama berulang.
Bagaimanapun, Jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina, Arsenio Andolong memberitahu, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada kapal itu milik China. – AFP











